Khamis, 7 Mac 2013
Pakaian Untuk Hiking
Bila berbicara tentang pakaian, ia meliputi
aspek baju, seluar, kasut dan sarung kaki. Walaupun banyak benda lain yang
boleh dikaitkan sebagai pakaian dalam aktiviti hiking, namun sebagai hikers
yang baru nak menjinakkan diri, tak perlulah terlalu membazirkan wang
semata-mata untuk mengikut trend orang lain berhiking. Bukan apa, takut nanti
kalau tak serasi, rugi pula berbelanja lebih.
Baju
Dalam memilih jenis baju yang sesuai, kita
selidik dahulu laluan yang bakal kita lalui dalam aktiviti hiking. Lengan
panjang adalah wajib bagi saya kerana kelebihannya sebagai pelindung lengan
dari cahaya matahari. Cuma jenis kain yang sesuai perlu diambil kira agar
pelaburan kita berbaloi dengan harga dan guna.
Hutan Malaysia mempunyai kelembapan yang
tinggi. Ia menyebabkan badan cepat berpeluh dan kehilangan air yang banyak dari
badan. Kain dari kapas adalah terbaik. Ia memerangkap air peluh dan menjadi
penyejuk. Ingat baju pagoda? Baju yang memang diminati kerana ianya lembut dan
cepat kering apabila dijemur. Masalahnya ..senang bertahi lalat kalau dibiarkan
terperap dalam keadaan lembap. Jangan menggunakan jenis polyester atau nylon
kerana ianya menyebabkan haba terkurung dan menjadi tidak selesa. Tambahan lagi
boleh menyebabkan bau badan yang sangat kurang menyenangkan. Campuran polyester/kapas dikatakan lebih baik
dari kain kapas semata. Jika laluan terdapat halangan onak..cariklah pakaian
yang sedikit lasak seperti campuran poly/kapas. Jika tidak, memadai dengan
kapas sahaja.
Pakai baju dengan sedikit longgar agar selesa.
Seluar
Ada yang mencadangkan memakai jeans ketika
hiking. Dari segi kelasakan dan ketahanan, ianya memang baik. Tapi lambat
kering dan berat jika basah. Memakai pakaian yang basah terlalu lama ketika
hiking boleh menyebabkan ruam. Jika dijangkiti kuman bahagian ruam tersebut,
ianya menimbulkan ketidakselesaan yang amat sangat. Memadai memakai seluar
sukan dua lapis..(ingat..bukan pakai seluar dua lapis, tapi yang mempunyai dua
lapisan)
Bahagian luarnya dari polyester tetapi mempunyai
lapisan nipis didalam sebagai menghalang polyester dari melekat kekulit.
Lapisan ini seperti memberi laluan udara untuk bergerak dan mengurangkan haba
terkurung. Seluar jenis ini mudah kering
dan ianya tidak menyimpan air.
::: ni kasut ye... contoh kasut yg sesuai dipakai, papa cakap .
Isnin, 4 Mac 2013
Keperluan dan persedian untuk hiking (bhg.1)
- Mental
Persediaan mental adalah perkara pokok dalam menjalani
aktiviti hiking. Kita tidak memerlukan hantu untuk menjana kekuatan luar biasa
mental, tapi keinginan untuk sama-sama menakluki puncak atau sampai ke destinasi
dengan selamat merupakan kunci kekuatan tersebut. Bayangkan perjalanan mendaki
cerun dengan jarak ratusan meter, makin didaki makin curam pula cerunannya.
Makin didaki makin banyak pula rintangan kayu tumbangnya. Itu semua mencabar
mental untuk memujuk kekuatan fizikal agar terus melangkah. Pernah saya berbual
dengan seorang hikers yang kebetulan mengikuti rombongan kami. Bila ditanya apa
yang memberikan dia kekuatan, ia menjawab.. “zikir kepada Allah”, “kerana Dia
saja yang dapat memberikan kekuatan kepada saya” tambahnya lagi.
Bergantung kepada keazaman kita, kekuatan boleh datang
dari banyak bentuk. Zikir dapat memberikan inspirasi kerana sesungguhnya, kita
milik-Nya. Selain itu, keazaman untuk tidak mengaku kalah atau gagal mendorong
kita untuk berjaya. Terpulanglah walau apa kaedah sekalipun..kekuatan itu mesti
dijana.
- Fizikal
Kekuatan fizikal boleh mempengaruhi kekuatan mental dan begitu
sebaliknya. Latihan seperti ketuk ketampi dapat menguatkan otot-otot kaki
kerana otot itu adalah sangat mustahak berada dalam keadaan optima. Kekuatan
otot bahu dan lengan boleh ditambah dengan senaman tekan tubi (push up). Ini
penting kerana kita banyak berpaut pada akar dan dahan untuk menuruni atau
mendaki. Kegagalan otot-otot tersebut untuk berfungsi dengan baiknya
menyebabkan kita mudah kecewa dan mengganggu ketahanan mental. Bukan mudah
untuk melakukan hiking, tapi bukan pula susah kalau kita bersedia dari awal.
Lakukan kedua-dua senaman tadi dalam 15 minit setiap sesi. Mungkin kita
berjaya untuk melakukan 20 kali ketuk ketampi dalam tempoh tersebut. Jangan
mengalah. Teruskan lagi dengan menambah bilangannya sedikit demi sedikit.
Kesilapan kita adalah melakukan yang pertama kali dengan semangatnya tanpa
menyedari kita telah merosakkan otot-otot tersebut. Barang perlu diingat, otot
yang cedera memerlukan masa yang panjang untuk sembuh. Jadi bersabar dan kekal
melakukan. Ianya lebih baik dari melakukan untuk kali pertama dangan banyak
tapi rehat berbulan-bulan tanpa senaman.
Selamat
berhiking.........
Isnin, 4 Mac 2013
Aktiviti
Hiking
Hiking
merupakan satu aktiviti luar rumah yang dilakukan dengan berjalan kaki ke suatu
destinasi untuk tujuan riadah. Individu yang melakukannya dipanggil hikers. Ia
dilakukan berkumpulan malah ada yang melakukan seorang diri. Bergantung kepada
tahap kemahiran hikers, jarak perjalanan dan tahap kesukaran, adalah tidak
begitu digalakkan dilakukan berseorangan. Tahap kesihatan juga penting. Sebab
itulah aktiviti ini bagus dilakukan berkumpulan. Aktiviti ini dilakukan secara
santai agar dapat memupuk semangat setiakawan dan bantu membantu agar menjadi
satu aktiviti yang menyeronokkan.
Destinasi yang dipilih selalunya mempunyai
ciri-ciri istimewa seperti cuaca yang nyaman dan dingin seperti gunung ataupun
lokasi yang dapat memberikan pemandangan yang ceria dan mengasyikkan seperti
melihat matahari terbit atau terbenam. Ada juga yang ingin melihat fauna dan
flora sepanjang hiking.
Hiking
memerlukan kesihatan mental dan fizikal. Hikers perlu bersedia dalam dua
perkara tersebut agar aktiviti berjalan lancar dan menyeronokkan. Jangan
melakukannya kalau kita tidak bersedia atau menghadapi masalah untuk
melakukannya kerana kesannya keatas kumpulan kita adalah besar. Namun begitu,
jika semua ahli bersedia bantu membantu dan memahami, ianya akan menjadi lebih
bermakna sebagai latihan hidup bermasyarakat. Amalkan latihan ringan sebelum
melakukan aktiviti supaya tubuh badan sentiasa berada pada tahap terbaik. Jaga
diet sebelum dan semasa melakukan aktiviti agar sentiasa bertenaga.
Banyak
kelebihan melakukan aktiviti hiking. Selain dapat memupuk semangat setiakawan
dan bantu membantu, ianya dapat merehatkan minda setelah penat mentelaah
ataupun ketegangan semasa melakukan tugas harian. Hikers juga dapat saling
berkenalan dan bertukar-tukar pandangan serta berkongsi pengalaman. Penat dan
lelah serta kesakitan badan selepas melakukan aktiviti ini biasanya terubat
apabila kita berjaya sampai dan kembali dari destinasi.
Selamat berhiking....

No comments:
Post a Comment